ALLAH TAALA MEMBERI HIDAYAH KEPADA SESIAPA YANG DI KEHENDAKINYA

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui. An-Nur ayat 21

Jumaat, 14 Ogos 2009

Sedikit, mengenai Syeikh Abdullah.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

ALHAMDULILLAH Segala kepujian dan kesyukuran bagi ALLAH.
DIA lah Tuhan Yang Maha Agung menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian dan menjadikan di antara kalangan mereka sebagai hamba-hambaNya dan di antara mereka pula dipilih khusus untuk diangkat menjadi Nabi dan Rasul serta kekasih-kekasihnya hinggalah sampai hari kiamat. Sesungguhnya ALLAH menentukan rahmat dan kurnia NYA kepada sesiapa yang dikehendakinya dan sesungguhnya ALLAH mempunyai kurnia yang amat besar. ALLAH jua lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki atas jalanNYA yang benar lagi lurus dan menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNYA. Maka barangsiapa yang diberi kurnia dan petunjuk sesungguhnya tidak akan sesat dan amat beruntunglah mereka. Manakala sesiapa yang disesatkan ALLAH maka tidak akan ada sesiapa yang dapat bagi petunjuk maka gelap gelita dan celakalah mereka. Sesungguhnya adalah teramat terang dan nyata jalan petunjuk dan jalan yang benar itu jika kembali rujuk kepada ALLAH dan Rasulullah SAW serta para ulama yang benar. Namun jalan petunjuk itu hampir terkambus dan terdinding oleh ulama palsu, pura-pura, dusta dan para ulama yang cinta dan menuntut kemuliaan dunia yang sementara, pangkat, kuasa, nama, glamour dan popular. Jalan-jalan dan pintu hidayah juga terhijab dan terhalang oleh nafsu dalam diri sendiri dan syaitan yang telah berjanji akan menyesatkan manusia hingga hari kiamat.

Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW penghulu dan penutup sekalian Nabi dan Rasul, tiada ada lagi Nabi dan Rasul yang dibangkitkan selepasnya dan adalah beliau sebaik-baik insan dan kejadian, menjadi rahmat bagi sekalian alam serta menjadi contoh teladan dan ikutan, tempat rujukan, panduan dan pedoman dalam semua hal dan amalan di sepanjang zaman samada lahir dan batin. Selawat dan salam untuk seluruh ahli keluarga Rasul yang mulia dan sekalian para sahabat yang terkenal dengan segala sifat kemulian dan kekuatan iman, amat kuat berpegang dengan syariat islam serta amat takut dan sangat mencintai ALLAH. Mereka telah berkorban jiwa raga dan seluruh tenaga dan harta pada jalan ALLAH demi perjuangan Rasulullah SAW. Amma Baddu..

Firman ALLAH:
Ketahuilah bahawa sekalian para aulia ALLAH itu tiada ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak ada rasa dukacita dan bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman dan amat takut kepada ALLAH, bagi mereka itu berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Tidak ada perubahan bagi janji-janji ALLAH. Yang demikian itulah kemenangan yang besar dan agung..

Sabda Rasulullah SAW:
Apabila lahir segala fitnah dan segala bidaah maka hendaklah menzahirkan oleh orang yang alim itu akan ilmunya, maka barangsiapa tiada kerjakan yang demikian itu maka atasnya laknat ALLAH.

Pada zaman ini yakni zaman yang penuh dengan kegelapan, kekelabuan, zaman kekeliruan, zaman kegawatan iman dan islam yang amat dahsyat, manusia teraba-raba, keliru celaru dan haru biru di dalam kehidupan samada yang beragama ataupun tidak. Orang-orang yang mengaku beriman dan islam sendiri telah celaru, keliru dan teraba-raba dan telah ditimpa dengan berbagai penyakit zahir dan bathin yang amat kronik dan amat dahsyat.

Dan adapun kemudian daripada itu, aku menyahut dan menerima permintaan sebahagian daripada suadara-saudara dan anak-anak ku agar dibukakan sebahagian ilmu dan rahsia yang ada pada aku daripada kurniaan dan anugerah ALLAH agar tidak menjadi fitnah atasku dan jalan-jalan kebenaran.

Hanyasanya aku mengharapkan kepada rahmat dan pertolongan Allah dalam memberi penjelasan dan penerangan atas tajuk yang menjadi banyak fitnah, perselisihan, perbahasan, dan pertikaian di kalangan orang-orang mukmim dan muslimim khususnya kepada orang-orang yang menjalani perjalanan thariqat dan hakikat serta orang-orang yang memdalami ilmu tasauf.

Berdasarkan ilmu yang dikurnia ALLAH kepada aku dan pengalaman yang aku dapati daripada perjalananku ingin aku paparkan dan bukakan mudah-mudahan segala kekeliruan, kekaburan dan segala persilihan dapat diselesaikan serta dapat diungkai dan diperbetulkan. Moga-moga segala yang palsu dan bathil dapat diruntuhkan dan semuanya dapat kembali kepada yang hak dan kebenaran.

Setelah sekian lama aku memendamkan dan menutup segala rahsia dan ilmu yang dikurniakan ALLAH kepada ku lantaran rasa tidak layak dan tidak akan diterima oleh segala orang jika aku menceritakan dan menkhabarkan segala apa yang menjadi rahsia akan diriku selama ini. Aku amat bimbang dan takut untuk aku khabarkan lantaran aku bukanlah orang alim dan ulama yang tinggi ilmu yang menuntut dan belajar samada dipondok, sekolah dan universiti dalam dan luar negeri. Aku tidak mempunyai apa-apa kelayakan dan kelulusan akademik samada ijazah dan PHD dalam dan luar negeri.

Andainya aku khabarkan dan sebarkan nescaya orang akan mendustakan dan membuat pelbagai tuduhan dan tohmahan padaku. Lantaran itu aku simpan dan pendam dahulu perkataan ku dan segala ilmu daripada anugerah dan kurniaan ALLAH padaku.

Setelah hampir 30 tahun aku pendam dan tutup rahsia ini, dan sekian lama juga aku melihat perkembangan dan perjalanan ilmu tasawuf dan perjalanan thariqat di alam tanah melayu khususnya maka aku dapati terlalu banyak dakwaan dan perkataan yang kebanyakan lari dan menyimpang jauh daripada perjalanan asal serta maksud dan hakikat sebenar ilmu dan perjalanan ini. Tiada seorang pun yang aku dapati yang benar-benar berkelayakan dan benar–benar sampai apatah lagi yang beroleh anugerah dan tauliah untuk memperkatakan dan membicarakan ilmu-ilmu ini. Kalaupun ada hanya setakat bicara dan perkataan yang diceduk dan diambil daripada kitab-kitab dan pengalaman orang-orang yang terdahulu yang terkenal hebat dan luar biasa.ilmu, amalan, iman, taqwa dan akhlak mereka.

Maka dengan yang demikian itu atas permintaan yang kuat dan sungguh-sungguh daripada saudara-saudaraku meminta ku menulis dan mengkhabarkan segala ilmu khususnya ilmu khusus berkenaan dengan ilmu ketuhanan dan kerohanian serta segala ilmu rahsia, hakikat dan makrifat. Dengan memohon petunjuk dan pertolongan ALLAH maka dengan ini aku semata-mata mengharapkan rahmat dan redha ALLAH akan aku paparkan sebahagian ilmu dan pengalaman yang dikurniakan ALLAH kepadaku moga-moga beroleh manafaat dan faedah yang banyak kepada sekalian hamba-hamba ALLAH yang benar-benar ikhlas yang mencintai ilmu dan jalan-jalan yang telah dilalui oleh sekalian para anbia, mursalin dan sekalian kekasih-kekasih ALLAH. Kepada ALLAH jua aku behadap memohon akan rahmat belas dan pertolongan dan inayahNYA agar membersihkan dan menyucikan akan segala niat, tujuan dan maksud yang lain selain daripada menjunjung akan perintah ALLAH dan mengikuti akan sunnah Rasulullah SAW agar memberi khabar dan nasihat serta peringatan agar orang-orang beriman tidak akan sesat dan terpedaya dengan segala yang batil dan palsu.

Firman Allah:
Maka berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manafaat kepada orang-orang yang beriman.

Maka di sini aku paparkan dan khabarkan secebis kisah sejarah hidup diriku bagi tatapan akan sekalian saudara-saudaraku mudah-mudahan mendapat manafaat dan faedah yang banyak dan aku berdoa dan bermohon pada ALLAH akan keampunan yang banyak dan rahmat yang luas atas diriku andainya apa yang aku nyatakan ini ada kesalahan, kekurangan dan menyimpang kepada niat yang lain selain ALLAH.

Adapun suatu masa yang ditaqdirkan ALLAH yakni pada hari khamis selepas asar pada tahun 1400 hijrah bersamaan pada tahun 1980 Masihi ketika aku sedang asyik dan mabuk berzikir dengan zikir la ila ha ilallah datanglah padaku suatu ilham daripada ALLAH Tuhan Sekalian Alam, Raja Yang Maha Agung atas segala Raja-Raja dengan mengurniakan akan diriku dengan kurniaan yang besar iaitu melantik akan diriku sebagai wakil Tuhan pada zaman ini yakni bagi kurun ke15 ini.
Allah menyaksikan atas apa yang aku perkatakan dan laknat Allah bagi orang-orang yang dusta dan berbohong.

Firman ALLAH: didalam surah Asy Syura ayat 13 :

[13]Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat). -Asy Syura ayat 13

Betapa besar dan tingginya anugerah ALLAH kepadaku membuatkan aku rasa bingung, ragu, bimbang, takut dan bermacam-macam perasaan selepas peristiwa itu kerana aku tidak pernah mengalaminya dan tiadalah bercita-cita dan berangan-angan untuk mendapatkan anugerah yang sebegini besar daripada ALLAH lantaran tidak layak dan terlalu banyak kekurangan dan kecacatan akan diriku kerana aku berasal daripada orang yang jahil yang serba serbi kekurangan dan kejahilan. Aku adalah manusia biasa sebagaimana orang-orang lain jua yang hidup pada zaman ini yang lebih mementingkan kehidupan dunia daripada akhirat. Kehidupan aku pada masa itu samalah dengan orang-orang lain yang hidupnya semata-mata untuk cari makan dan beroleh kesenangan dunia.. Aku bukanlah orang pandai dan memiliki ilmu yang tinggi. Ilmu agama tiadalah aku menuntut malainkan ilmu fardhu ain yang aku belajar disekolah rendah sahaja. Aku adalah orang jahil yang sangat lalai pada agama apatah lagi dengan segala suruhan Tuhan.

Pada waktu itu aku tidak taat perintah Tuhan, tidak sembahyang dan puasa hanya kadang-kadang dan jarang-jarang aku tunaikan. Kehidupan aku pada waktu itu hanya berseronok dan mencari kepuasan nafsu. Aku dikurniakan ALLAH pada waktu itu dengan kehidupan yang agak senang dengan memliki kenderaan dan pakaian yang mahal-mahal. Aku juga pada waktu itu dikurnia ALLAH sifat berani dan menjadi minat aku waktu itu menuntut pelbagai ilmu kuat dan gagah berani seperti ilmu silat, bathin dan sebagainya. Maka ramai orang yang hormat dan takut pada diriku. Didalam menjalani kehidupan pada waktu itu walaupun aku senantiasa beroleh kesenangan namun aku masih rasa kekosongan dan rasa tidak puas di dalam kehidupan.

Maka pada suatu malam aku terjaga daripada tidur yang nyenyak dengan kehendak ALLAH datang dalam fikiran dan akalku bahawa kehidupan yang aku lalui itu tidak ubah seperti kehidupan haiwan dan binatang yang hidup semata-mata untuk makan minum, tidur, kahwin dan berak. Berulang kali ianya bermain difikiran ku sehinggakan tanpa disedari mengalir air mata mengenangkan kehidupan ku yang sama tak ubah macam binatang lembu, kerbau kambing dan lain-lain.

Sejak daripada peristiwa pada malam itu aku rasa menyesal yang amat sangat dan mula berazam dan bercita-cita untuk kembali bertaubat. Maka aku terus bertaubat pada ALLAH dengan sungguh-sungguh dengan menyesali atas segala perbuatanku dan berazam sungguh-sungguh untuk meninggalkan dan tidak mengulangi akan segala perbuatan dan peragai jahat aku itu. Dari saat itu aku mula sembahyang dan berpuasa. Aku mula mencari jalan untuk membaiki diri dan mula mencari orang-orang atau guru yang dapat membimbing dan mengajar agama padaku. Maka aku mencari-cari majlis-majlis pengajian ilmu agama di masjid, surau dan tempat pengajian pondok aku pergi bagi mendapatkan ilmu dan membaiki akan diriku yang jahil, banyak dosa dan lalai ini.

Dalam aku mencari-cari orang yang dapat membimbing dan mengajar akan diriku maka dengan takdir ALLAH aku berjumpa dengan seorang tua yang pada pandangnku boleh memberi aku didikan dan ilmu. Dalam pertemuan itu orang tua itu menasihati aku supaya janganlah menuntut ilmu yang menuntut kepuasan nafsu atau ilmu beradu (ilmu persilatan, ilmu kebal dan ilmu menguatkan jasad). Seolah-olah orang tua itu tahu bahawa aku mempunyai minat dalam mempelajari ilmu tersebut. Orang tua menasihat padaku bahawa dengan menuntut ilmu beradu tenaga tidak ada kesudahan dan tidak memberi manfaat dan faedah kerana ianya tidak membawa faedah dan manfaat kepada mati dan akhirat. Aku bertanya kepadanya; ilmu dan amalan apakah yang patut aku pelajari dan amalkan? Dia menjawab hendaklah berzikir dan sebut ALLAH banyak-banyak dalam hati sehingga kekal. Lantas dia mengajar dan menyuruh aku menyebut kalimah ALLAH 3x.

Selepas pertemuan dengan orang tua itu yang telah mentalqinkan kepadaku amalan zikir tersebut maka dari saat itu aku pun terus amalkan sebagaimana yang disuruh oleh orang tua itu iaitu pada tahun 1976. Aku sungguh-sungguh mengamalkan zikir tersebut sehinggakan kehidupan aku berubah dengan begitu pantas dan cepat sekali. Kehidupan ku yang dahulunya penuh dengan kesenangan, kemewahan, berpoya-poya, penuh dengan permainan dan hiburan telah berubah dengan tiba-tiba. Waktu itu aku sudah tidak suka lagi dengan segala permainan, hiburan, bersuka-ria, berfoya-foya, kesana kemari dan berpakaian dengan pakaian mahal-mahal. Semuanya telah aku buang dan beri pada sesiapa yang meminta. Aku telah tinggalkan segala kemewahan dan kehidupan ku yang dahulu dan aku amat sibuk dengan zikir sehinggakan aku terlupa dan tidak tahu keadaan hal ehwal diriku waktu itu. Terlalu banyak pengalaman yang aku dapati samada zahir dan bathin dan terlalu panjang untuk aku ceritakan sepanjang aku amalkan zikir tersebut. Cukuplah sekadar aku nyatakan bahawa selepas sahaja aku amalkan zikir tersebut dengan bertubi-tubi tidak kira siang dan malam, tidak kira tempat, waktu dan keadaan. Pada waktu siang aku zikir ALLAH dan pada malam hari pada pertengahan malam hingga membawa kepada waktu subuh aku zikir la ila hailalah. ...

Dalam beberapa tahun aku bezikir, pada suatu malam aku bermnimpi datang beberapa orang pada ku yang menyumbat sesuatu pada ubun-ubunku membuatkan aku menjerit dan terkejut. Pada saat itulah zikir yang aku amalkan mula berpindah kepada zikir akal. Aku teruskan amalan berzikir yang aku amalkan beberapa tahun. Maka pada saat aku tenggelam, karam dan mabuk dalam berzikir datanglah zikir Tuhan padaku dengan perkataan dan akuan bahawa AKULAH ALLAH TUHAN.

Firman ALLAH dalam Surah AL Baqarah:
Maka sebutkan akan daku nescaya aku akan sebut akan kamu.

Firman Allah swt di dalam surah Al-Ahzab 41-42 :




41]Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;
[42]Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.


Maksud Hadis:
Hendaklah kamu sebut ALLAH banyak-banyak sehingga dikata orang pada mu gila.

Firman ALLAH :
Berzikirlah pada Tuhanmu didalam hatimu dengan penuh perasaan rendah hati dan takut dengan bukan suara yang keras pagi dan petang..

Hadith dari At-Tarmizi dan Ibnu Majah dan disahihkan oleh Al-Hakim, dari Abu Darda’ (marfu’) :

أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ وَأزْكَاهَا عِنْدَ مَلِيكِكُمْ وَازْفَعِهَا فِى دَرَجَاتِكُمْ وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِنْفَاقِ الذَّهَبِ وَالْوَرَقِ وَخَيْرٍ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَنَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ. قَالُوا: بَلَى. قَالَ: ذِكْرُاللهِ.
“Tidakkah kuberitahukan kepada kamu tentang amalmu yang paling
baik dan paling bersih disisi Tuhan-mu dan paling tinggi (mengangkat)
darjatmu, dan terlebih baik bagimu dari (berperang) melawan
musuh, lantas kamu memenggal batang leher mereka dan mereka pun
memenggal batang lehermu?” Para Sahabat pun menjawab : “Bahkan”.Nabi saw pun bersabda : “Zikrullah”.

Firman ALLAH
Dan sebutlah ALLAH banyak-banyak mudah-mudahan kamu beruntung.

Terlalu banyak nas dan hujjah dan dalil samada didalam ayat Alquran, sunnah nabi dan asar para sahabat dan kata-kata ulamak muktabar menceritakan kelebihan dan fadhilat zikir yang tiadalah aku ingin menyebutnya di sini cuma ingin aku sebutkan beberapa sahaja sesuai dengan pengalaman yang aku lalui.

Firman ALLAH taala:
Maka hendaklah kamu Tanya ahli zikir sekiranya kamu tidak mengetahui..

Maka di sini ingin aku khabarkan pengalamanku tentang zikir yang aku amalkan yang aku dapati selari dan muafakat dengan Al quran, Hadis dan Sunnah Nabi serta pengalaman yang terdapat di dalam kitab para ulama-ulama dahulu yang kaya dan terkenal dengan amalan dan pengalaman zikrullah..

Sebagaimana yang aku ceritakan bahawa aku bermula dengan zikir la ila ha illah, kemudian zikir Allah dan kemudian zikir akal dan zikir sir dan roh dan tamat pada zikir ainul mazkur iaitu zikir ALLAH.pada hamba. Yakni khatam zikir yakni tamat zikir hamba datang zikir ALLAH pada hamba. Sesungguhnya ianya benar dan telah diceritakan oleh Syeikh Tok Ku Pulau Manis di dalam syarah kitab Hikam pada halaman yang.139 dengan katanya: (Faedah) kata setengah mereka itu bermula sekalian orang yang zikir itu atas lima mertabat iaitu zikir dengan lisan dan zikir qalbu dan zikir dengan akal dan zikir dengan sirr dan zikir ainul mazkur.

Firman ALLAH di dalam hadis Qudsi:
Telah AKU memperbuatkan di dalam rongga anak Adam itu suatu mahligai dan adalah dalam mahligai itu dada dan di dalam dada itu hati, dan di dalam hati itu fuad dan didalam fuad itu Shaqaf dan di dalam shaqaf itu Lubb dan di dalam Lub itu Sir dan didalam Sir itu AKU (yakni didalam Sir itu tempat tajalli AKU dan tempat ia mengenal akan daku).

Maka adalah demikian itu menyatakan tempat muktamad dan haqiqi bagi mengenal ALLAH dengan sebenar-benar kenal iaitu haqqul yakin. Yakni kenal ALLAH dengan ALLAH. Maka disitulah tempat penamat kesudahan bagi orang-orang yang berjalan kepada ALLAH dengan mengenal ALLAH pada kesudahan pengakuan ALLAH ditempat SIR di hadrat Al Qudsi.

Maka kepada semua orang-orang yang mengenal ALLAH dengan haqqul yakin disinilah mereka berhadap wajah dengan ALLAH Tuhan yang Maha ESA yang tiada ada menyerupai akan sesuatu dan bersalahan dengan segala yang baharu. Maka segala orang-orang ariffin mereka duduk pada hadrat qudsi wal inns dengan beroleh beberapa kurnian yang besar pada mereka seperti mufatahah, Muwajihah, musyahadah, mujalasah, mukhatobah, muhadsah dan Mutholaah.

Maka pada tahun 1980 yakni bersamaan dengan pada tahun 1400 hijrah aku telah dikurniakan ALLAH dengan anugerah yang amat besar. Setelah aku tamat zikir dan ketika datang zikir sir itulah datang beberapa perkataan kepada aku. Dalam aku sedang mabuk dan asyik dengan zikir Allah tersebut datang padaku beberapa perkataan dari Tuhanku….

Wahai hambaKU Engkaulah adalah WakilKu Yang Haq……….

Wahai hambaKu…
Janganlah engkau ragu dan syak apa yang datang daripadaku. Jarang AKU anugerah pangkat seperti ini pada zaman ini

ALLAH telah melantikku sebagai wakilNYA pada zaman ini dan memerintahkan kepada ku supaya mengistiyharkan dan mengkhabarkan kepada orang umum, namun aku amat meraguinya kerana aku tidak layak dan tidak mampu serta timbul berbagai-bagai perasaan dalam batinku sehinggakan aku memendam dan menyimpannya sehingga dua minggu. Kemudian datanglah ilham memerintahkan agar aku mengkhabarkan kepada orang ramai jika tidak segala pangkat anugerah ALLAH itu ditarik balik. Maka timbulllah kekuatan dalam diriku lantas aku pergi ke pejabat agama untuk memohon kebenaran dan izin untuk aku berceramah dimasjid. Pegawai agama tersebut lantas menemuduga dan memberi beberapa soalan pada ku dan aku menjawabnya dengan penuh yakin. Lantas pegawai tersebut amat berpuas hati dan membenarkan segala pengakuan dan dakwaanku itu lantas membenarkan aku supaya berceramah dan bersyarah di seluruh masjid di negeri Terengganu tanpa surat kebenaran.

Aku terus ke masjid Buluh Gading kampungku dan meminta kebenaran dari pada imam untuk aku berkata-kata atas mimbar masjid. Maka dibenarkan untuk berkata-kata maka aku terus berkata-kata sebagaimana yang telah diperintahkan dengan kata-kata yang diizinkan oleh Tuhanku. Selepas aku memberi salam aku terus berkata dengan beberapa perkataan:

“Aku adalah wakil Tuhan zaman ini samada Tuan-tuan nak percaya atau tidak terpulanglah pada tuan-tuan”

Aku juga menyampaikan beberapa perkataan Tuhanku yang telah diilhamkan kepadaku iaitu:

Manusia di zaman ini tamak haloba dengan nikmatKU, tetapi mereka tidak mahu taat kepada KU

Manusia dizaman ini mengetahui AKU itu ada tetapi mereka tidak mahu berusaha untuk menuntut mengenal AKU. Mereka menyembah AKU sedangkan mata hati mereka buta terhadap KU dan tidak pernah berhadap padaKU. Alangkah dukacitanya AKU, tidakkah AKU sahaja yang wujud di dalam alam ini.

Manusia dizaman ini ramai tidak syukur dengan nikmatKU, rezeki yang AKU kurnia pada mereka, mereka anggap daripada usaha mereka dan cerdik pandai mereka sendiri

Barangsiapa tidak taat pada KU dan tidak syukur dengan nikmat KU dan tidak redha barang yang ditakdirkan olehKU maka carilah Tuhan yang lain daripadaKU dan keluarlah daripada bumiKU.

Semenjak daripada peristiwa itu datanglah pelbagai fitnah dan tuduhan pada ku. Ada yang menuduh aku sesat, gila, tidak siuman, tak betul dan pelbagai tohmahan dan kata-kata yang tidak percaya pada dakwaanku.. Aku tidak peduli dengan segala fitnah dan tuduhan tersebut dan aku terus dan sibuk dengan tugas dan perintah Tuhanku supaya menyampaikan dan membawa manusia kembali kepada ALLAH.

Bermula dari saat itu aku mula mengadakan majlis zikir dan pengajian kepada orang-orang yang berminat dengan ilmu tasauf dan sufi. Aku tidak peduli dengan segala tuduhan dan fitnah yang menimpa diriku dan aku anggap semuanya itu cubaan dan ujian daripada ALLAH. Pelbagai pengalaman, nikmat, hikmah, ujian dan cubaan yang aku lalui sepanjang membimbing anak-anak murid kembali berhadap kepada ALLAH sehingga kini…


Pda tahun 1983 Allah mengilhamkan kepada ku supaya tidak payah berusaha cari rezeki, yakni makam Tajrid iatu dengan tiada berusaha dan iktihar mencari rezeki hanya cukup menanti datang rezeki dari ALLAH. Pada mulanya timbul juga keraguan dan kebimbangan dalam diriku dengan ilham tersebut namun dengan keyakinan yang diberi ALLAH aku berserah dan bertawakkal maka dengan beberapa tahun melaluinya dengan tidak bekerja dan berusaha mencari rezeki maka barulah datang faham dan yakin bahwa rezeki sesungguhnya ALLAH yang tentukan. Maka bertambahlah yakin akan aku pada Tuhanku bahawa ALLAH yang menentukan rezeki dan diberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki tanpa jalan usaha dan ikhtiar. Maka dari saat itu hingga kini segala urusan rezeki aku serahkan pada Tuhanku dengan tiada lagi aku bersusah payah berfikir, merancang, berusaha, berikhtiar dan bekerja. Semuanya sebagia mana yang dijanjikan rezeki datang padaku dengan jalan yang mudah tanpa usaha dan ikhtiar.

Maka yang demikian itu sempurnalah akan segala sifat-sifat terpuji dan sempurnalah segala hal dan maqam bagi orang-orang yang menjalani jalan thariqat setelah dikurnia makrifat dan haqiqat maka terzahirlah segala sifat-sifat terpuji yakni sifat-sifat mahmudah dan fana serta lebur dan sucilah segala sifat-sifat tercela dan segala najis syrik khafi dan baqa dan qaimlah dengan berpakaian segala pakaian-pakaian kesucian dan kesempurnaan seperti sifat-sifat yakin, taqwa, tawaakkal, zuhud, sabar, redha, ikhlas, benar, qannah, pemurah, cinta ALLAH, ingat mati dan segala sifat-sifat dan akhlak terpuji.

Maka demikian itulah sebahagian dan secebis kisahku yang ingin aku paparkan agar menjadi rujukan dan panduan kepada sesiapa yang ingin mengikuti perjalanan kembali kepada ALLAH. Maka sudah barang tentu apa yang dipaparkan ini akan menjadi perbahasan dan akan menimbulkan pelbagai banyak soalan dan pertanyaan. Maka sesungguhnya aku bersedia untuk berbincang dan bermuzakarah dengan sesiapa sahaja berkenaan mauduk dan tajuk ini insya ALLAH.
Aku bersedia dengan pertolongan dan izin ALLAH untuk menghuraikan, membetulkan segala kekeliruan, kesamaran dan kepalsuan dan memberi segala penjelasan dan persolan berkenaaan dengan ilmu ini. Insya ALLAH aku akan ceritakan satu-spersatu dan akan aku terangkan dengan sejelas-jelasnya sebagaimana yang dikurniakan dan diizikan ALLAH. Wallahu Alam

Maka aku sudahi dengan kalamku ini dengan sebuah puisi khas aku tujukan kepada orang-orang yang menjalani jalan tasauf dan jalan sufi yang mulia lagi istimewa…


Jalan Tasauf Sedikit Pengikut,
Banyak Fitnah
Orang Yang Berjalan,
Ramai Yang Patah Pinggang,
Rebah Ditengah Jalan
Tak Sempat Sampai Kepada Tuhan
Nafsu Syaitan, Dunia dan Makhluk
Menjadi Halangan
Akhirnya timbul Thariqat Sesat dan Songsang
Yang Benar Ada,
Tetapi amatlah Jarang
Tersembunyi didalam lipatan
sufi sadur, sufi kepura-puraan dan
sufi andai-andaian
Kesana ke sini mencari pelanggan
Akhirnya terkubur di dalam liang



Apabila ribut dan angin tidak reda
ombak dan gelombang tidak akan hilang
susah fikiran di dalam pelayaran dan perjalanan
takut karam kapal yang dinaiki atau terhumban kedalam lautan.
Apabila karam kapal yang dinaiki atau terhumban didalam lautan
maka terkapai-kapailah didalam lautan
kepada siapa lagi kita mahu minta bantuan dan
pertolongan selain daripada Tuhan pencipta sekalian alam.
Inilah ibarat sisalik didalam perjalanan dan pelayaran
ujian mendatang sebagai halangan
bila sampai kepada Tuhan tenangkah fikiran
jamuan Tuhan pun mendatang bagi orang-orang pilihan.
Dunia ini tempat jamuan Tuhan kata Abu Madyam
apabila ditanya orang…

Firman ALLAH:
Dan sesugguhnya kepada Tuhan engkaulah tempat kesudahan


Wabillahi Taufiq wal hidayah Wassalammu Alaikum…




Hamba Yang Faqir lagi hina

Syeikh Abdullah Al Majzub Buluh Gading
Wakil Tuhan Zaman ini 1400Hijrah
Syeikh Thariqat Abdullahiyyah


1 Ramadhan 1430Hijrah….
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.

khazanah islam

SYEIKH ABDULLAH AL-MAJZUBI. WAKIL TUHAN SEMENJAK 1400 HIJRAH


neocounter

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template