Syarahan ini di ambil dari karya Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, di dalam kitabnya yang berjudul "Futuh Al-Ghaib" . Moga-moga sama-sama kita mengambil manfaat darinya. InsyaAllah.
Apabila kamu dapati dalam hati kamu perasaan benci atau kasih seseorang, maka periksalah lakuannya berdasarkan Al-Quran dan Hadis. Jika benci itu berbetulan dengan Al-Quran dan Hadis, maka bersukacitalah kamu kerana bersesuiannya kamu dengan Allah dan RasulNya. Jika kamu benci tetapi tidak menurut Al-Quran dan Hadis, maka ketahuilah bahawa kamu telah mengikut hawa nafsu kamu. Kamu benci kepada orang itu kerana pengaruh hawa nafsu kamu, maka tidak berlaku adil kepadanya dan kamu telah membantah kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu kembalilah kepada Allah, bertaubatlah kerana benci kamu itu, dan mintalah dariNya supaya kasih kepada orang itu dan kepada orang lain yang terdiri dari orang-orang yang beriman, wali-waliNya, orang-orang pilihanNya dan orang-orang soleh dari hamba-hambaNya dan hendaklah kamu bersesuaian dengan Allah dalam mengasihi orang itu.
Kamu hendaklah berlaku seperti kamu berlaku kepada orang-orang yang kamu kasihi.
Pendeknya kamu hendaklah periksa lakuan orang itu berdasarkan Al-Quran dan Al-Hadis. Sekiranya kamu dapati Al-Quran dan Al-Hadis membenarkan dan menyukai lakuan orang seumpama itu, maka kamu pun hendaklah membenarkan dan menyukainya. Jika di benci oleh Al-Quran dan Al-Hadis, maka kamu pun bencilah kepadanya. Kamu hendaklah benci dan kasih menurut dan besesuaian dengan Al-Quran dan Al-Hadis. Sesuaikanlah perasaan dan lakuan kamu dengan Al-Quran dan Al-Hadis. Jika kamu kasih kepada seseorang tetapi di benci oleh Al-Quran dan Al-Hadis, maka janganlah kamu kasih kepada orang itu, supaya kamu tidak menurut hawa nafsu kamu. Kamu diperintahkan supaya melawan hawa nafsu seperti firmanNya :
Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.








