ALLAH TAALA MEMBERI HIDAYAH KEPADA SESIAPA YANG DI KEHENDAKINYA

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui. An-Nur ayat 21

Selasa, 10 Ogos 2010









================================




[183]
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
[184]
(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
[185]
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.




KITAB PUASA

Wajib puasa bulan Ramadhan apabila sempurna bulan Syaaban 30 hari atau ada bersaksi oleh orang yang adil di hadapan qadhi dengan melihatkan anak bulan Ramadhan, jika seorang sekalipun. Dan wajib puasa bulan Ramadhan atas tiap-tiap orang Islam yang sempurna akalnya, serta sampai umurnya. Adapun orang Islam yang gila, kanak-kanak, maka tiada wajib atasnya puasa, dan tiada pula di kehendaki mengqadar akannya. Tetapi wajib atas wali yakni penjaga bagi kanak-kanak tersebut yang sampai umurnya 10 tahun, wajib di pukulkan jika tiada dia puasa supaya jadi biasa dia puasa sebelum sampai umur lagi. Adapun, yang tiada kuasa puasa, kerana terlampau tua atau sakit, maka tiada wajib atasnya puasa, tetapi perlulah di bayar akannya fidyah.


Dan tiada sah puasa orang yang haid dan nifas, dan batal puasanya dengan kedatangan haid atau nifas satu lahzaf pada hari tersebut. Dan wajib atas keduanya iaitu orang yang haid dan nifas mengqadhakannya kemudian daripada habis haid dan nifas. Bersalahan sembahyang fardhu, yang di tinggalkan ketika haid dan nifas tiada wajib di qadha akannya. Kerana kesukaran pada sembahyang kerap berulang-ulang haid pada tiap-tiap bulan dan panjang masa nifas. Dan harus berbuka bagi orang yang bermusafir, yang harus sembahyang qasar padanya, sekira-kira jauh musafirnya itu 2 marhalah atau lebih, tetapi mestilah keluar dari kota negeri atau, kampung, atau seumpamanya dahulu daripada fajar yakni sebelum Subuh. Adapun jika musafirnya tiada sampai 2 marhalah atau dia keluar kota/kampung ketika waktu fajar atau selepas fajar (Subuh), itu tiada harus baginya berbuka hari itu. Maka apabila sempurna syarat yang tersebut itu barulah HARUS baginya berbuka. Dan jika tiada musyaqah (halangan) atasnya puasa sekalipun, tetapi yang afdhal dia puasa tatkala itu yakni tatkala tiada musyaqah , sampai dapat baginya fadhilat waktu. Adapun jika takut mudharat atasnya pada masa itu atau pada masa akan datang, maka yang afdhalnya dia berbuka bahkan wajib dia berbuka jika dia takut hasil mudharat atas dirinya seperti mudharat yang mengharuskan tayammun.


Dan HARUS berbuka puasa orang yang sakit, akan seperti penyakit yang tiada tertanggung pada adab kebiasaan. Adapun orang yang sakit yang jika dia berpuasa, menjadi kuat sakitnya hingga mengharuskan tayammun, WAJIB dia berbuka dan HARUS pula berbuka orang yang mengandung dan orang yang menyusu jika musyaqah atas mereka itu berpuasa, sekira takut mereka itu akan dirinya daripada kesukaran yang tiada dapat di tanggung pada adab seumpama barang yang di sebut oleh Ibnu Hajar, kesukaran yang mengharuskan tayammun dengan kata Syeikh Ramli kesukaran sekira lambat sembuh, jika puasa akan dia, dan wajib atas mereka itu qadha akan puasa apabila hilang uzurnya.


Dan WAJIB bermalam niat puasa jika puasa fardhu dengan diniatkan antara kesudahan jatuh matahari (selepas maghrib) sehingga memulai keluar fajar (Subuh). Maka jika diniat dia berbetulan dengan salah satu waktu Maghrib atau Subuh, atau dia syak ketika dia berniat, adakah niat itu jatuh menyertai waktu atau tiada, maka tiada memadai niat itu. Bersalahan, jika dia syak pada menyertai itu, selepas lamanya daripada berniat itu, ataupun dia syak pada siang hari, adakah dia berniat pada malam tadi atau tiada, dan teringat akan dia sebelum daripada jatuh matahari (Maghrib) maka tiada mengapa.


Maka hendaklah diniatkan yakni di jatuhkan pada hatinya, “Sahaja aku berpuasa esok hari daripada bulan Ramadhan dan iaitu bagi tiap-tiap hari kerana puasa itu tiap-tiap hari terasing dia daripada sehari yang dahulu daripadanya maka jika berniat dia hanya pada malam yang pertama daripada bulan Ramadhan tiada memadai melainkan atas mazhab Imam Malik. Maka HARUS bagi penganut Syafie taqlidkan akan niat sebulan Ramadhan, supaya tiada berhajat akan qadar puasanya apabila dia terlupa niat pada satu malam daripadanya, tetapi di kehendaki batal puasanya pada hari itu, yakni hari yang terlupa niat itu mengikut batal puasa mazhab Imam Malik.


Dan HARUS berniat pada siang hari sebelum gelincir matahari pad puasa atas yang sunat selama tiada dia buatkan suatu yang membatalkan puasa , itulah yang muktamad. Dan wajib berniat itu ditentukan niatnya sama ada puasa Ramadhan atau nazar atau kifarah jika puasa itu puasa wajib. Jika dia berniat puasa fardhu dengan tiada di tentukannya tiada memadai niatnya itu.Dan WAJIB di malamkan niatnya pada tiap-tiap malam, bersalahan pada mazhab Imam Malik yang terdahulu sebutnya.


Dan WAJIB dia menahankan dirinya daripada tiap-tiap yang membatalkan puasa daripada makan dan minum. Dan setengah daripadanya menelankan kahak kemudian daripada sampainya kepada had yang zahir iaitu makhraj “ha”. Dan setengah daripada yang membatalkan puasa itu, memasukkan ain benda ke dalam rongga daripada mulutnya dan lubang hidungnya dan lubang telinganya dan duburnya, dan zakar atau farajnya.


Dibolehkan menelan air liur semata-mata yang tiada bercampur dengan sesuatu. Yakni yang suci yang keluar daripada bawah lidahnya. Maka jika dikeluarkan air liur hingga sampai zahir bibir mulutnya atau bercampur dengan najis atau dengan sedikit daripada suatu yang zahir dan di telan akan dia, nescaya batal puasanya itu.


Dan menahankan dirinya daripada jimak dengan sengaja atau dengan memasukkan qadar kepala zakar atau qadarnya bagi mereka yang tiada baginya kepala zakar kerana cacatnya sama ada pada faraj atau dubur bagi manusia mahupun binatang. Dan mengeluarkan mani dengan sengaja atau dengan bersentuh dengan perempuan atau berpeluk atau becium keluar maninya nescaya batal puasanya. Melainkan bermimpi, dengan sebab bermimpi, keluar maninya tiada batal puasanya.


Dan muntah dengan sengaja dan sendawa dengan sengaja apabila keluar sesuatu daripada perutnya kepada had rongga tengkuk yang zahir. Dan jangan kedatangan gila pada suku harinya, walau satu lahzah sekalipun, (sekelip mata). Dan jangan pitam pada segala harinya daripada fajar hingga jatuh matahari. Dan murtad pada suku harinya. Dan jangan kedatangan haid dan nifas jika mengiringi darah atau daging sekalipun, kerana darah haid yang berhimpun dan kedatangan wiladah yang beserta dengan basah.



Sunat2 di dalam puasa :

1). Menyegerakan berbuka puasa, manakala yakin atau berat zhon akan masuk

matahari.

2). Berbuka puasa dengan buah tamar dan jika tidak di dapati,

maka dengan air.

3). Makan sahur.

4). Mengakhirkan makan sahur tetapi janganlah sampai masa yang di syak akan

naik fajar.

5). Meninggalkan berkata-kata dengan perkataan yang keji seperti, berdusta,

mengumpat, cela-mencela dan meninggalkan sekalian keinginan.

6). Mandi daripada hadas sebelum fajar.

7). Membanyakkan bersedekah dan beribadah seperti membaca Al-Quran, dan

sembahyang sunat seperti Tarawikh dan Witir.

8). Iktikaf.



Makruf dalam berpuasa :

1) Berbekam kerana ianya membawa lemah berpuasa.

2) Merasa akan makanan kerana di takuti sampainya ke dalam kerongkong.

3) Memamah sesuatu. Kerana yang demikian akan membanyakkan air liur yang di takuti membawa kepada tertelan.

4) Mengucup isteri atau lain daripadanya jika tidak membangkitkan keinginan sekalipun.

5) Membanyakkan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam lubang hidung.

* Melakukan sesuatu daripada perkara yang tersebut itu akan mengurangkan pahala puasa.



Hari-hari yang HARAM puasa :

1). Hari Raya Fitrah

2). Hari Raya Adha.

3). Hari-hari tasyrik, iaitu hari yang ke-11, 12 dan 13

daripada bulan Zulhijjah.

4). Hari yang di syak akan awal Ramadhan.

5). Mana-mana hari selepas 15 haribulan Syaaban jika bukan puasa qadha atau nazar atau bukan hubungan dengan puasa yang di dahulu daripadanya atau bukan hari yang dia biasa amalkan.

* HARUS berpuasa pada hari syak atau hari-hari selepas 15 haribulan Syaaban jika puasa itu qadha atau kifarah atau berbetulan hari yang dia biasa puasa seperti puasa hari Isnin dan puasa hari Khamis.



Hukum-hukum meninggalkan puasa :

*Barangsiapa mengakhirkan qadha puasa Ramadhan sehingga puasa bulan Ramadhan yang lain padahal dia upaya berpuasa wajiblah dia qadha serta memberi fidyah secupak beras/ (makanan yang mengenyangkan) bagi tiap-tiap hari yang di qadha.

*Jika di mengakhirkan sehingga lalu 2 tahun wajib fidyah 2 cupak bagi tiap-tiap sehari. Begitulah yang lebih daripada itu.

*Perempuan yang hamil dan menyusukan anaknya jika berpuasa kerana takutkan mudharat pada dirinya maka WAJIB qadha tidak fidyah. Jika berbuka dia kerana takutkan anaknya maka WAJIB qadha serta fidyah.

*Adapun fidyah-fidyah puasa itu di beri kepada fakir2 dan miskin2, tidak kepada yang lain.

* Jenis makanan yang WAJIB fidyah ialah seperti jenis zakat Fitrahnya.

* Wajib fidyah itu barang yang lebih daripada makanan, pakaian dan tempat kediaman.

* Sunat Qadha puasa itu dengan berturut-turut.

*Makruh mengerjakan puasa sunat bagi orang di atasnya ada qadha Ramadhan.



Kifarah puasa :

Kifarah puasa ialah memerdekakan seorang hamba yang Islam ; maka jika tidak upaya hendaklah puasa 2 bulan berturut-turut, dan jika tidak upaya hendaklah memberi makanan kepada 60 orang fakir atau miskin.

*Wajib kifarah di atas seseorang mukalaf yang membinasakan sehari puasa bulan

Ramadhan dengan jimak yang sengaja.

* Tidak wajib kifarah kerana jimak dengan terlupa dan dipaksa.

*Tidak wajib kifarah kerana membinasakan puasa Ramadhan dengan yang lain daripada jimak.



Fidyah puasa :

Barangsiapa luput puasa Ramadhan kerana sakit atau musafir maka mati dia sebelum qadha, tidak wajib di ikut dengan qadha atau fidyah dan tidak berdosa.

Adapun orang yang luput puasa Ramadhan serta dapat dia qadha tetapi tidak dia qadha hingga mati maka puasa qadha oleh walinya atau di keluarkan fidyah daripada peninggalan iaitu secupak makanan yang ghalib bagi tiap-tiap sehari yang luput itu.

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.

khazanah islam

SYEIKH ABDULLAH AL-MAJZUBI. WAKIL TUHAN SEMENJAK 1400 HIJRAH


neocounter

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template