ALLAH TAALA MEMBERI HIDAYAH KEPADA SESIAPA YANG DI KEHENDAKINYA

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui. An-Nur ayat 21

Sabtu, 12 Mac 2011

Sirah Rasulullah 2

Dari pengembala kepada pedagang

Dalam sejarah dan riwayat para Nabi, kita menemui perkara-perkara yang amat sukar difahami. Kita mengetahui bahawa Nabi Nuh yang berdakwah selama 950 tahun, hanya berjaya menarik 81 orang menjadi pengikutnya. Dengan hitung kasar, baginda hanya berjaya menarik hanya satu orang dalam setiap 12 tahun.

Sebelum mencapai tahap kerasulan, para Nabi biasanya menjalani setengah daripada usia mereka sebagai penggembala yang memungkinkan mereka melewati waktu di padang, memelihara kambing dan ternakan yang lain. Lantaran itu, mereka mudah menjadi sabar dan tabah dalam membimbing manusia serta mudah memikul kesukaran dan penderitaan. Ini adalah kerana apabila seseorang mampu menanggung kesukaran dalam mengurus haiwan yang tidak mempunyai akal dan fikiran, maka dia akan dapat menerima tanggungjawab membimbing orang yang sesat untuk beriman kepada Allah.

Hal ini berdasarkan hadis : “Allah tidak mengutus seorang Nabi pun yang sebelumnya tidak di jadikan sebagai penggembala kambing supaya dapat belajar membimbing masyarakat.”

Nabi Muhammad sendiri menjalani sebahagian daripa hidup baginda sebagai penggembala. Sebahagian penulis sirah memetik kata-kata Nabi, “Semua Nabi pernah menjadi penggembala sebelum diangkat menjadi Rasul.” Orang bertanya kepada Nabi, “ Apakah tuan juga pernah menjadi pengembala”? Nabi menjawab, “ Ya. Selama beberapa waktu saya menggembala kambing penduduk Mekah di daerah Qararit.”

Tidak diragui ini penting bagi orang yang hendak berjuang. Nabi mesti belajar menjadi tabah dan sabar dalam pelbagai cara.

Cara hidup yang tidak masuk akal dan kejahatan para pembesar Quraisy sangat mempengaruhi pemikiran baginda. Ketika menjalani kehidupan sebagai penggembala, Nabi mengamati langit, bintang, dan tumbuh-tumbuhan di hutan. Ia membuatkan Nabi menjadi semakin yakin akan erti kebenaran. Melalui tafakur seperti ini, para Nabi akan dapat mempertingkatkan keimanan mereka kepada Allah.


Saranan Abu Talib

Keadaan kewangan anak saudaranya yang tidak menentu, mendorong Abu Talib yang juga salah seorang tokoh Mekah, bangsawan Quraisy, serta terkenal dengan sifat dermawan, berani, dan murah hati, mencarikan peluang pekerjaan untuk Nabi. Dia berkata kepada anak saudaranya, “ Khadijah puteri Khuwailid termasuk orang kaya di kalangan Quraisy. Kegiatan perdagangannya sampai ke Mesir dan Ethiopia, dia sedang mencari orang yang jujur untuk mengurus perdagangannya dan membawa barang dagangannya dalam kabilah Quraisy untuk dijual di Syria. Wahai Muhammad! Alangkah bagusnya jika engkau memohon pekerjaan kepadanya.”

Keluhuran budi dan kemulian rohani Nabi mencegahnya untuk memohon secara langsung tanpa perkenalan terlebih dahulu dan tawaran daripada Khadijah. Maka baginda menjawab, “ Tidak ada salahnya apabila Kahdijah mengirim orang menghubungi saya.” Nabi berkata demikian kerana tahu bahawa dirinya cukup dikenali masyarakat sebagai ‘orang jujur’ (al-amin). Ketika Khadijah mengetahui hal tersebut dengan segera dia mengirim orang untuk menjumpai Nabi dan menyampaikan tawaran ganjaran yang lumayan untuk bekerja dengannya. Nabi pun menerima tawarannya itu.

Satu kabilah Quraisy termasuk barang dagangan Khadijah bersedia untuk bertolak. Khadijah menyerahkan seekor unta yang cergas, sejumlah barang yang mahal dan dua orang pembantu kepada Muhammad sambil memerintahkan mereka mematuhi Nabi dalam segala hal dan tidak boleh membantah serta benar-benar tunduk kepadanya.

Kabilah tiba di tempat tujuan. Seluruh barang dagangan para kabilah habis terjual dan memperoleh untung yang lumayan.Keuntungan yang diperolehi Nabi lebih banyak berbanding para kabilah yang lain. Nabi pun membeli barang tertentu untuk dijual di bazar Tahamah.

Ketika Kabilah Quraisy hampir tiba di Mekah, seorang hamba iaitu Maisarah berkata kepada Nabi, “Alangkah baiknya jika tuan memasuki Mekah mendahului kami dan melaporkan kepada Khadijah tentang perdagangan dan keuntungan besar yang kita perolehi tahun ini.”

Nabi tiba di Mekah ketika Khadijah sedang duduk di bilik yang berada di atas. Dia berlari turun dan mengajak Nabi ke ruang tamu. Nabi menyampaikan hal-hal berkaitan barang dagangan dengan wajah gembira. Saat itu Maisarah muncul.

Maisarah menceritakan kepada Khadijah apa yang dilihatnya di sepanjang perjalanan. Semuanya membuktikan kebesaran jiwa Muhammad yang di gelar al-Amin. Maisarah memberitahu Khadijah ketika dalam perjalanan, Muhammad berselisih faham dengan seorang pedagang. Pedagang itu hendak bersumpah demi Lata dan Uzza tetapi al-Amin menjawab, “Saya menganggap Lata dan Uzza yang kamu sembah sebagai benda yang paling buruk dan hina di muka bumi ini.” Maisarah meneruskan , “Di Busra, al-Amin duduk di bawah sepohon pokok untuk beristirehat. Seorang pendeta yang sedang duduk di biara kebetulan melihatnya. Dia datang dan lantas bertanyakan nama Muhammad kepada saya kemudian dia berkata, ”Orang yang duduk di bawah naungan pohon itu adalah nabi yang telah saya baca mengenainya di dalam Taurat dan Injil.”


Khadijah Wanita Pertama Memeluk Islam

Hingga ke waktu itu keadaan kewangan dan ekonomi Nabi belum stabil. Baginda masih memerlukan pertolongan kewangan dari bapa saudaranya, Abu Talib. Urusan perniagaannya belum mantap untuk memilih pasangan dan mendirikan rumahtangga.

Perjalanan terakhirnya ke Syria, sebagai wakil dagang wanita kaya dan terkenal iaitu Khadijah, akhirnya baginda berjaya memulihkan kewangan dan ekonominya. Keberanian dan kecekapannya menimbulkan penghormatan Khadijah. Khadijah menyatakan kesediaannya untuk membayar upah lebih banyak daripada apa yang dijanjikan semula. Namun, Nabi hanya mahu menerima upah yang sudah disepakati sebelumnya. Baginda pulang ke rumah Abu Talib dan menyerahkan semua upah yang diperolehi untuk membantu bapa saudaranya.

Abu Talib menunggu anak saudaranya itu dengan rasa gelisah. Matanya digenangi air mata melihat usaha gigih Nabi. Bagaimanapun beliau sangat gembira apabila mengetahui kegiatan usaha Muhammad dan keuntungan yang diperolehinya. Abu Talib memberitahu keinginannya untuk menyerahkan dua ekor kuda dan dua ekor unta kepada baginda supaya dia dapat meneruskan usahanya. Mengenai wang yang Nabi perolehi dan yang telah diserahkan kepadanya, Abu Talib memutuskan untuk memanfaatkannya dalam memilih isteri untuk Muhammad.

Persoalannya:Bagaimana pilihannya boleh jatuh pada Khadijah,padahal sebelumnya wanita itu telah menolak lamaran orang-orang Quraisy paling kaya dan berpengaruh seperti ‘Uqbah bin Abi Mu’ith, Abu Jahal, dan Abu Sufyan?

Apakah yang menyatukan dua orang insan yang hidupnya sangat berbeza dan pada akhirnya membuahkan hubungan mesra, cinta dan kebahagiaan sehingga Khadijah menyerahkan seluruh hartanya kepada Muhammad untuk digunakan pada jalan tauhid dan menjunjung kebenaran? Bagaimana mungkin, rumah yang penuh perabut yang bertatahkan gading dan mutiara serta berhiaskan sutera indah, akhirnya menjadi tempat berlindung kaum muslimin?

Sejarah membenarkan bahawa perkahwinan ini adalah hasil keimanan Khadijah serta kesolehan, kejujuran,kebajikan dan kisah kejayaannya.

Kerana suci dan bijak, dia ingin berkahwin dengan lelaki soleh dan baik. Berdasarkan inilah Nabi berkata tentangnya “Khadijah adalah salah seorang wanita yang paling mulia di syurga”

Dia wanita pertama yang beriman kepada Muhammad. Ali bin Abi Talib mengatakan, “Tidak ada keluarga muslimin lain kecuali keluarga yang terdiri dari Muhammad, isterinya Khadijah dan saya sebagai ahli keluarga yang mula-mula memeluk Islam.”

Ibnu Al-Athir menceritakan, seorang pedagang bernama Afif datang ke masjidil haram. Dia sangat terkejut melihat, solat jemaah oleh satu kelompoknya terdiri dari tiga orang. Dia melihat nabi solat bersama Khadijah dan Ali. Sekembalinya dari masjid dia bertemu Abbas bapa saudara Nabi. Afif menceritakan apa yang dilihatnya dan menanyakan perkara yang sebenarnya terjadi. Abbas menjawab, “pemimpin ketiga-tiga orang itu adalah orang yang mengaku dirinya sebagai nabi, yang perempuan adalah isterinya Khadijah, sedang orang ketiga adalah Ali, sepupunya.”



Khadijah Terpikat Kepada Nabi.

Sejarah menyebutkan bahawa Khadijah terdorong mengahwini Nabi Muhammad adalah berdasarkan alasan-alasan kerohanian. Perkahwinan ini tidak ada kaitan dengan aspek materialnya sama sekali. Bukti yang menyokong hal ini adalah sebagai berikut :

1). Ketika Khadijah menanyakan hal-hal yang berkaitan dengan perjalanan Nabi, Maisarah mengisahkan keajaiban-keajaiban yang dia saksikan pada Nabi dan yang didengarnya dari pendeta di Syria. Perasaan Khadijah terpaut kerana amat tertarik pada ciri-ciri kerohanian Nabi, sehingga dia terus menyatakan kepada Maisarah, “Maisarah! Cukuplah itu! Engkau sudah menambahkan perhatian saya kepada Muhammad. Sekarang saya bebaskan engkau dan isteri mu serta menyerahkan kepada mu 200 dirham, 2 ekor unta, dan sehelai baju yang mahal.”

Kemudian Khadijah menceritakan apa yang didengarnya dari Maisarah kepada Waraqah bin Naufal, seorang yang ahli dalam kitab Injil tetapi buta. Waraqah mengatakan, “Orang yang memiliki sifat-sifat itu adalah nabi berbangsa Arab.”

2). Suatu ketika, Khadijah duduk di rumahnya sedangkan para pelayan perempuan dan hambanya mengelilinginya. Salah seorang pendeta Yahudi juga ada bersamanya. Kebetulan Nabi melintasi mereka dan pendeta itu melihatnya. Lantas dia meminta Khadijah mendesak Muhammad agar menangguhkan tugasnya dan menyertai mereka sebentar. Nabi menunaikan permintaan pendeta itu yang sedang mengamati tanda-tanda kerasulan yang ada pada dirinya. Khadijah berpaling kepada si pendeta lalu berkata,

“ Apabila bapa saudaranya mengetahui apa yang sedang tuan lakukan, mereka akan marah kerana mereka takut terhadap orang Yahudi berkenaan dengan anak saudara mereka.”.

Pendeta itu menjawab,. “ Mana mungkin ada orang yang mengganggu Muhammad padahal taqdir telah mengangkatnya untuk risalah terakhir dan untuk membimbing manusia!” Khadijah bertanya, “berdasarkan apa yang tuan katakan, dia akan memegang kedudukan ini?” Jawabnya, “ saya telah membaca tanda-tanda Nabi yang terakhir dalam kitab Taurat. Tanda-tandanya termasuk tiga perkara, iaitu, orang tuanya meninggal dunia, datuk dan bapa saudaranya yang memeliharanya dan dia memilih isteri dari wanita Quraisy.” Kemudian pendeta itu menunjuk kepada Khadijah sambil berkata,

“ berbahagialah orang yang mendapat kehormatan untuk menjadi pasangan hidupnya.”

3). Waraqah, bapa saudara Khadijah, salah seorang alim berbangsa Arab, menghafal Injil dan Taurat sering mengatakan, “ seorang lelaki akan dibangkitkan Allah dari kalangan Quraisy untuk membimbing masyarakat. Dia akan mengahwini salah seorang wanita terkaya di Quraisy.” Oleh kerana Khadijah wanita terkaya Quraisy, Waraqah sering mengatakan kepadanya, “ saatnya akan tiba ketika engkau akan kahwin dengan orang paling mulia di muka bumi!”

4). Suatu malam Khadijah bermimpi matahari berputar di atas kota Mekah lalu turun perlahan-lahan dan kemudia mendarat di rumahnya. Dia menceritakan mimpinya kepada Waraqah bin Naufal. Waraqah menakwilkan mimpinya, “ Engkau akan berkahwin dengan orang besar. Dia akan terkenal di seluruh dunia.”

Apabila di perhatikan, seluruh peristiwa itu amat jelas menunjukkan alasan keterpikatan Khadijah kepada Nabi. Keterpikatan ini terutama di sebabkan oleh keyakinannya pada kerohaniaan dan akhlak Nabi yang tinggi.



Perkahwinan Yang Suci

Telah diakui bahawa lamaran datang dari pihak Khadijah. Ibnu Hisyam mengatakan bahawa Khadijah mengungkapkan minatnya secara peribadi dan berkata, “Saudaraku memandang hubungan yang ada di antara kita dan kebesaran serta kemuliaan tuan di kalangan kaum tuan serta kejujuran,akhlak terpuji dan kelurusan yang ada pada tuan, saya sangat ingin menyambung hubungan kekeluargaan dengan tuan.” Al-amin Quraisy itu menjawab, “Saya perlu memberitahu hal ini kepada bapa saudara saya. Urusan ini harus diselesaikan dengan persetujuan mereka.”

Kebanyakan sejarawan percaya bahawa Nafsiah binti Aliyah menyampaikan lamaran Khadijah kepada Nabi begini:

Dia berkata, “Wahai Muhammad ! Mengapa tuan tidak sinari kehidupan malam tuan dengan seorang isteri. Apakah tuan akan menyambut dengan senang hati jika saya mengundang tuan kepada kecantikan, kekayaan, keanggunan dan kehormatan?” Nabi menjawab, “Apa maksudmu?” Nafsiah kemudiannya menyebut nama Khadijah. Nabi bertanya, “Apakah Khadijah siap untuk itu, padahal dunia saya dan dunianya berbeza?” Nafsiah berkata, “Saya mendapat kepercayaan dari dia dan akan membuat dia bersetuju. Tuan perlu menetapkan tarikh perkahwinan agar walinya (Amar bin Asad) dapat mendampingi tuan beserta kaum kerabat tuan manakala upacara perkahwinan dan perayaan dapat diselenggarakan.”

Nabi membicarakan masalah ini dengan bapa saudaranya yang mulia Abu Talib.

Pesta agung yang terdiri dari orang-orang istimewa Quraisy pun diselenggarakan. Dalam kesempatan pertama, Abu Talib menyampaikan pidato dengan mengucapkan syukur kepada Allah.tentang anak saudaranya, beliau memperkenalkan demikian, “Anak saudara saya, Muhammad bin Abdullah lebih utama daripada siapa pun di kalangan Quraisy. Walaupun dia tidak berharta, kekayaan adalah bayangan yang berlalu manakala asal usul dan salasilah adalah kemuliaan.”

Kerana Abu Talib telah menyebut Quraisy dan keluarga Hasyim dalam khutbahnya, Waraqah, bapa saudara Khadijah yang tampil pada kesempatan yang kedua dalam sambutannya mengatakan, “Tidak ada orang Quraisy yang membantah kelebihan tuan-tuan. Kami sangat ingin memegang tali bangsawan tuan.”

Upacara perkahwinan yang suci pun dilaksanakan. Mahar ditetapkan empat ratus dinar. Sebahagian mengatakan bahawa mas kahwinnya dua puluh ekor unta.

Berbagai riwayat menyebutkan,ketika berkahwin dengan nabi, Khadijah berusia 40 tahun manakala nabi berusia 25 tahun. Khadijah lahir pada 15 tahun sebelum Tahun Gajah. Namun beberapa sejarawan menyebutkan ketika itu umurnya kurang dari itu. Sebelumnya dia telah dua kali berkahwin. Bekas suaminya adalah Ais bin ‘Abid dan Abu Halah, kedua-duanya telah meninggal dunia.

-Wallahualam.

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.

khazanah islam

SYEIKH ABDULLAH AL-MAJZUBI. WAKIL TUHAN SEMENJAK 1400 HIJRAH


neocounter

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template